Wednesday, November 21, 2012

Travelog Bersamamu Kemboja. Cerita 2


Cerita 2 : Sujud Pertama

Sujud pertamaku di bumu Kemboja.
Islam itu Indah.Di mana-mana saja Indah .

Aku bersiap untuk ke Masjid. Pintu bilik dibuka, suasana subuh yang masih gelap, kedinginan suhu pagi masih terasa. Aku dan rakan yang lain keluar bergerak ke Masjid Nurudin, masjid yang terletak di dalam kawasan madrasah tempat kami bermalam.Kami berjalan beramai-ramai menuju ke masjid. Kaki melangkah dengan penuh berhati-hati. Kepala tunduk untuk melihat jalan. Subuh yang masih gelap, hanya mengharapkan suluhan cahaya anak bulan yang menerangi.

Melihat masjid yang agak suram. Dari luar kelihatan gelap di dalam. Dalam hati memikirkan tiada Jemaah yang hadir, namun hati begitu teruja sekali apabila masuknya kami ke dalam, tiga saff di hadapan telah dipenuhi.

Terpegun ketika berada di dalam masjid. Keluasan dalam masjid agak besar, namun masjid hanya mengharapkan kepada suluhan cahaya satu lampu kalimantang sahaja. Rasa sayu seketika. Walaupun dalam keadaan cahaya lampu yang  malap, tapi bangga dengan Jemaah yang hadir. Hati mereka cerah disuluh dengan cahaya keimanan. Gelap tidak menghalang mereka untuk datang solat berjemaah.

Seorang demi seorang orang kampung Rokapopram masuk ke dalam masjid. Orang tua, remaja dan kanak-kanak kecil terdidik dihati mereka untuk solat berjemaah di masjid. Mereka mula memenuhi ruangan di hadapan. Agak ramai Jemaah Subuh di sini, penuh tiga saff di hadapan.

Sebelum iqamah, ramai Jemaah yang bangun untuk solat sunat rawatib terlebih dahulu sebelum solat Subuh. Jemaah lelaki agak ramai berbanding muslimat yang jauh di belakang. Dalam samar-samar suasana masjid yang gelap, aku duduk melihat suasana masjid. Rasa tenang…

Bila ada iman di hati, walaupun dalam kesusahan bagaimana pun peluang untuk mendapatkan pahala berjemaah tetap dikejar. Dalam samar Subuh yang dingin, orang kampung di sini sanggup bermotor dan ramai juga yang berbasikal melajukan kayuhan untuk sampai ke Masjid bagi menunaikan Solat Subuh berjemaah. Aku teringat negara ku Malaysia. Menjadi tanda tanya, adakah Jemaah Subuh di masjid-masjid di Malaysia seramai yang aku yang lihat sekarang ?

Walaupun Jemaah tidaklah sehingga memenuhi masjid, tapi jumlah yang hadir Subuh itu boleh dibanggakan. Mereka hadir dengan tujuan untuk solat berjemaah dalam Masjid yang hanya diterangi dengan suluhan satu lampu kalimantang. Subhanaallah, hebatnya iman mereka.

Dapat menilai di sini, kesenangan yang ada bukanlah menjamin untuk kita bertambah dekat dengan Tuhan, malah menjadi satu dugaan. Aku memikirkan kesenangan umat Islam di Malaysia, berapa ramai umat Islam di negara ku sendiri tatkala azan di masjid-masjid berkemumandang tetapi masih lena di atas empukan tilam yang selesa. Masjid yang banyak dan cantik, dihiasi dengan cahaya lampu yang bersinar dan indah namun begitu sukar untuk mengumpulkan Jemaah memenuhi saff terutamanya bagi solat Subuh.

Lebih kurang dalam 10 minit sementara mengumpul Jemaah lain hadir, Imam bangkit menuju ke sejadah untuk memulakan solat. Suara imam Subuh itu merdu sekali. Aku terasa bagaikan berada di Mekah. Imam membaca surah al-Fatihah dan surah ar-Rahman dengan lenggok seperti imam Masjid di Mekah.
Alhamdulillah, nikmat betul dapat solat Subuh di Kemboja. Aku berdoa semoga mereka terus istiqamah untuk terus hadir solat berjemaah. Terima kasih Ya Allah kerana memberi peluang ini.



Gambar Masjid Nuruddin di Kg Rokapopram


Jemaah penuh sehingga ke luar, semasa solat sunat Hari Raya Aidiladha


 Subuh terakhir di Kemboja sebelum bersiap untuk pulang ke Malaysia.
Solat Subuh diimamkan oleh Ustaz Zakaria, 
pengarah program "Program Korban Bersamamu Kemboja"


0 Buah Fikiran:

Post a Comment

http://hotlayouts2u.com/blogger-layouts/view.php?id=L782752258