Saturday, December 10, 2011

Kasih Rasulullah S.A.W terhadap kanak-kanak

Bismillahirrahmanirrahim.
"Sampaikanlah walau satu ayat"
Semoga bermanfaat.

Kasihilah kanak-kanak sepertimana Rasulullah S.A.W mengasihi mereka.


Rasulullah S.A.W adalah insan yang mulia yang baik akhlak yang boleh dicontohi. Rasulullah bukan sahaja baik dan kasih pada orang tua malah juga pada kanak-kanak. Rasulullah sangat suka pada kanak-kanak malah kanak-kanak juga suka dengan Rasulullah S.A.W.



Setiap kali Rasulullah bertemu dengan kanak-kanak, Rasulullah akan mengusap kepala dan mendoakan mereka. Itulah bukti betapa kasihnya Rasulullah pada kanak-kanak. Kita perlu mencontohi sikap ini. Lantaran kebelakangan ini, manusia seolah-olah tidak berhati perut. Semakin hari semakin banyak jenayah buang anak dan dera contohnya yang berlaku di dalam negara kita. Mana hilangnya nilai kasih sayang dalam diri manusia..

bagaimana dengan diri kita?
sejauh mana kasihnya kita pada kanak-kanak...

Kanak-kanak adalah insan yang suci yang tidak berdosa. Jadi, layanilah mereka dengan lemah lembut dan curahkan mereka dengan nilai kasih sayang.

***
Contohi Rasulullah yang Kasihi Kanak-Kanak

1. Rasulullah S.A.W sangat lembut dan penyayang
Riwayat Anas r.a: “Suatu hari Rasulullah menyuruh aku untuk suatu urusan. Aku berkata  Demi Allah aku tidak akan pergi. ‘ meskipun dalam hatiku berkata, ‘ Tentu saja aku akan pergi untuk melaksanakan perintah Baginda. Kemudian aku pun berangkat dan di pasar aku bertemu dengan anak-anak. Tiba-tiba aku merasa seseorang menarik rambutku dari belakang. Ketika aku menoleh, aku melihat Rasulullah tertawa. Beliau bertanya, ‘Anas, apakah engkau pergi ke tempat yang aku perintahkan?’ Aku berkata, ” Ya Rasulullah s.a.w tentu saja aku pergi.”

2.Sikap penyayang Rasulullah terhadap kanak-kanak
Apabila bertemu kanak-kanak Baginda akan menyalami mereka, meletakkan tangan Baginda di kepala mereka, dan mendukung anak yang kecil. Baginda merasa terharu apabila seorang ibu itu mencintai bayinya. Ketika berbicara dengan ibu-ibu, beliau akan berkata,” Barang siapa yang dikurniakan anak-anak oleh Allah swt dan dia mencintai anak-anakaknya dan juga menunaikan kewajipannya terhadap mereka makan dia akan selamat dari neraka jahanam.”

3.Rasulullah tidak perah bersikap kejam terhadap kanak-kanak
Rasulullah S.A.W sangat menyukai kanak-kanak. Sepanjang hidupnya sama sekali Baginda belum pernah memukul, bersikap kasar, kejam ataupun bersikap diam terhadap kanak-kanak. Baginda sangat sedih terhadap tingkah laku orang arab jahiliah yang biasa menanam hidup-hidup anak-anak perempuan mereka hanya untuk menjaga martabat mereka. Rasulullah saw sangat terharu ketika di Aqabah orang arab bersumpah setia tidak akan membunuh anak-anak mereka lagi. Semenjak hari itu perbuatan keji tersebut dihentikan




Kasihilah dan sayangi mereka serta contohi sikap Rasulullah S.A.W dengan kanak-kanak.

Friday, December 9, 2011

Sayangi hati

Jika kita sayangkan diri, jagalah hati. Jagalah hati sepertimana kita menyayangi diri kita sendiri. Mengapa perlu menjaga hati? 

Rasulullah S.A.W ada bersabda, "Dalam tubuh manusia ada segumpal daging, apabila ia baik, maka baik lah seluruh tubuhnya; dan jika ia rosak, maka rosak pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah, itulah hati." (Al-Hadis).



Hati merupakan benda yang abstrak, sukar untuk pelihara, sentiasa berubah, dan sangat bahaya jika ia tidak dijaga. Sebab pada hatilah setiap amalan kita bermula. Bermula pada cetusan hati barulah anggota lain akan bergerak untuk membuat apa yang dikatakan oleh hati.

Jika seseorang memiliki hati yang baik, suci dan bersih, pasti setiap cetusan yang difikirkan oleh hatinya adalah perkara yang baik dan jika hati cetuskan perkara yang buruk-buruk pasti hati akan melahirkan perasaan yang tidak senang supaya pemilik hati yang baik tadi tidak melakukan perkara-perkara yang terlarang.

Jadi, jagalah hati supaya hati menjaga diri kita...
Ibnul Qayyim menjelaskan, agar hati kita sentiasa sihat, ia boleh dilakukan dengan tiga cara; menjaga kekuatan hati, melindungi hati dari hal-hal yang membahayakan, dan membuang zat-zat yang berbahaya bagi hati."


Menjaga kekuatan hati.
Hati boleh menjadi kuat dan kuatnya hati menjadikan diri seseorang itu semangat dan istiqamah dalam beramal. Kuatnya hati adalah letaknya pada Iman dan hanya nilai Iman beserta Takwa yang boleh menjadi pengykur sekuat mana hati yang kita miliki. Tapi, tiada siapa yang boleh menghitung keduanya kecuali Allah yang Esa. jadi, jagalah hati kita sebaiknya sebab hatilah yang menghubungkan diri kita dengan Pencipta.



Kekuatan hati boleh dibina. Hati menjadi kuat sekiranya ia diberi makan dengan makanan-makanan rohani. Jika ia diberi makanan-makanan yang baik maka hati kita akan memberikan satu kemanisan yang tidak boleh digambarkan oleh pemilik hati tadi.

Kekuatan hati juga boleh dibina dengan amalan dan setiap amalan yang dibuat tadi mestilah lahir dari hati yang ikhlas. Hanya amalan yang ikhlas sahaja yang akan dihitung oleh Allah dan paling penting amalan yang ikhlas sahaja yang akan memberi kepuasan pada diri dan mendapat balasan di syurga nanti.

Lindungi hati dari hal yang membahayakan
Jauhkan diri kita daripada segala perkara yang melalaikan dan yang utama ialah hndari diri daripada melakukan dosa dan maksiat. sebabnya setiap dosa yang kita lakukan, satu titik hitam akan ditanda  dalam hati kita. jika titik hitam itu tadi bertambah menyebabkan hati kita menjadi gelap dan sakit.Apabila sakit, sebab itulah kita merasakan sangat berat untuk melaksanakan perintah yang Allah turunkan.


Membuang zat-zat yang berbahaya bagi hati
Terakhir, agar tetap sihat, zat-zat yang membahayakan hati harus dibuang. Dan, cara paling efektif untuk membuang zat-zat yang berbahaya tersebut adalah dengan taubat dan istighfar. Taubat dan istighfar adalah dua ubat yang boleh membuang toksin di dalam hati. Ia bagaikan antibody yang bisa membuat hati tetap sehat.

Selalulah bermuhasabah diri, dan sentiasalah dalam memperbaiki diri agar menjadi hamba yang bertakwa di sisi-Nya. Bersama kita menjaga hati agar setiap amalan dilakukan penuh keikhlasan, dan meningkatkan keimanan kita....Islam untuk semua...

*Jagalah hati...:)

Thursday, December 8, 2011

Contohi Semalu


P.O.H.O.N S.E.M.A.L.U
Pernah lihat pohon semalu?
pohon semalu memang sukar untuk didekati. Jika tersalah langkah, pasti terluka jika terkena durinya yang tajam. Pohon semalu juga sukar diambil sebab akarnya yang mencengkam ke bumi. Tengok pula pada daunnya, belum sempat kita sentuh daun-daunnya menguncup sendirinya.



cuba perhatikan pula pada waktu senja, daun-daunnya akan kuncup semula bila matahari mula tenggelam. Itulah dia pohon semalu. Sebab itu wanita sering dikaitkan dengan pohon semalu. Wanita perlu belajar daripada sifat semalu yang sukar untuk didekati.

W.A.N.I.T.A & M.A.L.U

Kita lihat batangnya yang berduri, manusia takut untuk dekati. Jadi, sebagai wanita cukup pakaian yang menutup aurat, longgar dan tidak jarang boleh menggantikan duri-duri pada pohon semalu itu sebagai benteng untuk diri wanita agar terhindar daripada gangguan lelaki.

Wanita juga perlu contohi semalu, kuncup di waktu malam hari. Ibrahnya di sini, wanita perlu berada di rumah bila waktu malam menjelma. Wanita perlu menjaga diri dengan tidak keluar malam, sebab pada malam hari itu syaitan mula berkeliaran, mudah terjadinya kejahatan.



Duhai wanita,
hiasilah diri dengan sifat malu,
Imam Nawawi pernah berkata :
"Menurut para ulama, bahawa hakikat malu itu adalah sebuah perangai yang diciptakan agar pemiliknya meninggalkan hal-hal yang buruk dan mencegahnya agar tidak mengurangkan hak yang mesti diberikan kepada ahlinya."

Malu itu adalah sifat yang baik.Tidak rugi jika kita memiliki sifat malu. Tapi, malu perlulah bertempat dan malulah pada yang sepatutnya untuk kita malu. Untunglah orang yang ada sifat malu kerana malu itu juga adalah sebahagian daripada iman.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : " Sifat malu itu tidak akan mendatangkan keburukan, kecuali hanya kebaikan."

...."Malu"....
Wanita perlu ada sifat malu
sebab malu benteng buat wanita
adanya sifat malu
kita akan berfikir sebelum membuat sesuatu
kita akan terfikir
"Allah redha tak perbuatnku?"

kalau tiada sifat malu,
semua dosa senang nak buat,
depan orang pun berani buat maksiat,
hilang malu, automatik kita lupa akhirat...

Malunya Anak Nabi Syuib

Dan ketika dia(Musa) sampai di sumber air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan(ternakan mereka berdua). Dia bertanya: “Mengapa dengan kamu berdua(menahan ternakan)”? Mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”

Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.”

Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata: “Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
Surah Al-Qasas ayat 23-25.



Buat wanita,
sesungguhnya cantikmu bukan untuk pujaan,
bukan jua untuk tandingan.
Hiasilah diri dengan keimanan
basahi lidahmu dengan pujian,
tundukkan pandangan dan selalulah membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Duhai wanita,
jagalah dirimu,
jadikan malu sebagai perhiasan,
kerana di situlah darjat kemuliaanmu.

Ya Allah, kurniakanlah sifat malu kepada perempuan hari ini, sebagaimana sifat malu yang wujud pada Anak Syu’aib. Ya Allah, kurniakanlah sifat malu kepada perempuan hari ini, sebagaimana sifat malu yang wujud pada Anak Syu’aib. Ya Allah, kurniakanlah sifat malu kepada perempuan hari ini, sebagaimana sifat malu yang wujud pada Anak Syu’aib.
Aminnn.



Tuesday, December 6, 2011

10 Muharam.

Bismillahirrahmanirrahim...
Salam Maal Hijrah buat semua muslimin dan muslimat. Sempena hadirnya bulan baharu ini, marilah kita sama berhijrah, berhijrah dari kurang baik menjadi baik, dari baik menjadi lebih baik, dari lebih baik kepada lebih terbaik...


Tanpa sedar, sedang asyik kita leka dengan nikmat kemewahan, kita mabuk dengan kesenangan, begitu pantas masa itu berlalu. Hari ini dah masuk 10 Muharam . Setakat ini bagaimana penghijrahan diri kita, apa khabar iman?semoga bertambah subur dan mekar bak bunga-bunga cantik yang mengembang dan mengeluarkan haruman yang menawan.

Peristiwa yang berlaku pada 10 Muharam.

Hari ini dah sepuluh Muharam. Dalam sejarah Islam banyak peristiwa yang berlaku pada tarikh ini. Sepuluh Muharam kebiasaannya akan diraikan kerana banyak peristiwa bersejarah yang berlaku pada tarikh tersebut.Diantaranya ialah :
  1. Allah SWT menerima taubat Nabi Adam a.s yang termakan buah larangan (khuldi)
  2. Nabi Idris a.s,diangkat ke Syurga dengan rahmat Allah SWT. 
  3. Nabi Nuh a.s. diselamatkan daripada banjir besar 
  4. Nabi Ibrahim a.s diselamatkan ALLAH dari dibakar Raja Namud.
  5. Nabi Yunus a.s. dikeluarkan dari perut ikan Nun 
  6. Kesalahan Nabi Daud a.s diampunkan oleh ALLAH. 
  7. Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara. 
  8. Nabi Yaakob a.s dapat melihat kembali 
  9. Nabi Ayub a.s disembuhkan dari penyakit kulit. 
  10. Laut Merah terbelah dua,Nabi Musa selamat,Firaun dan pengikutnya tenggelam ke dalam laut. 
  11. ALLAH SWT menciptakan Arash,Kursi,Luh Mahfuz,qalam,langit dan bumi. 
  12. ALLAH SWT menciptakan Jibrail,Mikail,Israfil dan Izrail,syurga dan neraka.

Amalan yang boleh diamalkan di bulan Muharam.

Memandangkan hari Asyura hari yang mulia dan bersejarah,nabi Muhamammad SAW menganjurkan berpuasa sunat.Antara hadis yang menyebut hal tersebut ialah:

“Rasulullah SAW ditanya berkenaan puasa hari Asyura,maka baginda menjawab :
“Dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu,”

Imam Syafie di dalam kitab “Al-Umm menyatakan bahawa sunut hukumnya berpuasa pada hari itu,iaitu 9,10 dan 11 Muharram.Mengenai puasa pada hari ke Sembilan,Rasulullah SAW bersabda :
“Jika aku masih hidup sehingga tahun yang akan datang aku akan berpuasa pada hari ke Sembilan (Muharram) selain dari hari Asyura juga digalakkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Barangsiapa berpuasa satu hari dari bulan Muharam,maka baginya setiap hari mendapat 30 kebajikan.”


Sempena masuknya bulan baharu ini, marilah kita sama-sama umat Islam bangkit semula, bersama-sama kita membina kekuatan. Tinggalkan dosa lalu, amalkan segala kewajipan, banyakkan amalan-amalan sunat, merebut segala kesempatan kebaikan yang boleh kita kerjakan. Umat Islam pasti cemerlang! semoga hari ini lebih baik dari semalam.

Selamat beramal.:)

Saturday, November 19, 2011

Mencari halawatul Iman



......................................................................................
Bismillahirrahmanirrahim...
apa khabar iman? semoga iman kita masih subur untuk membuahkan amalan-amalan yang baik.
semoga hati kita kuat dengan ujian,yakin dengan keimanan,
istiqamah dengan amalan.

al-hamdulillah, peperiksaan berakhir dengan hati yang senang, diberi nikmat masa lapang untuk seketika. Di harapkan diri ini tidak alpa.

Sebelum meneruskan bicara, pesanan buat diri dan semua Ikhlaslah dalam setiap perkara..."Allah melihat amalan kita, malaikat mencatit segalnya, sedarlah dalam sedar supaya kita sentiasa beringat pada-Nya"

Duhai hati yang unik ciptaanya, biarlah ia sentiasa bersih...cucikan ia dengan istighfar kuatkan ia dengan ketaatan tetapkan dia dengan nilai keikhlasan...

aku mendambakan iman, kerna aku inginkan ketenangan,
 aku mahukan sifat kehambaan.

mengejar kemanisan Iman,
aku merinduinya, adakah masih berpeluang untuk ku nikmatinya.
dalam kesukaran mengawal hati dan perasaan,
perlu berusaha tundukkan nafsu yang meminta,
aku gusar,
bimbang jika syaitan iblis berjaya mengalahkannya....

wahai iman,
jika dulu engkau hadir menjadi peneman,
engkau memberiku ketenangan, engkau hadirkan padaku semangat perjuangan,
subhanallah...ada kemanisan yang Allah titipkan.

Ya Allah,
aku inginkan nikmat itu berterusan,
aku ingin istiqamah dalam perjuangan,
istiqamah dengan amalan, berterusan menanti penuh pengharapan...


hari ini belum tentu, esok jua belum pasti,
jika semalam aku cinta di jalan juang,
belum tentu hari ini...


Hadis Anas r.a: 
Diriwayatkan daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Tiga
perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan 
perkara itulah dia akan memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka.

manisnya iman tidak dapat diungkap. 
Tiada siapa yang boleh berkongsi cerita untuk menggambarkan kelazatannya. Untuk merasainya, individu itu sendiri perlu berusaha untuk mengejarnya. Kemanisan yang sangat mahal harganya. tidak akan hadir tanpa pengorbanan,
akan lenyap jika tidak berterusan bila beramal.....


Ya Allah,
kuatkan diriku,jauhilah diri ini daripada terpedaya
dengan hasutan syaitan yang binasa,
lindungilah diriku dan semua umat Islam
agar sentiasa dalam jagaan rahmat dan kasih sayang-Mu.


‎"Sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanya digerakkan oleh sedikit manusia, terutamanya seorang Muslim..
Dari seluruh Muslim yang ada, hanya sedikit yang sedar. Dari sedikit yang sedar itu, lebih sedikit lagi yang berdakwah..
Dari jumlah yang sedikit dalam berdakwah, lebih sedikit lagi yang berjuang. 
Dan dari sedikit yang berjuang, hanya sedikit yang sabar..
Begitu pula dari mereka yang sedikit dalam bersabar itu, lebih sedikit lagi yang sampai pada AKHIR perjalanan." - Al Imam Hassan Al Banna -

Thursday, October 27, 2011

Berjuanglah wahai Ansorullah!



Bismillahirrahmanirrahim.
salam perjuangan buat sahabat-sahabat yang mana hatinya membara 
untuk berjuang demi kemenangan Islam.Sahabat-sahabat yang cekal dalam menempuh cabaran yang sememangnya sukar dan pahit untuk ditelani. Sememangnya kepayahan bakal ditempuhi,
Tapi bagi mukmin yang benar-benar ikhlas dalam menempuhi
jalan ini,
yakinlah syurga yang nikmatnya tidak terkira telah tersedia
di sana nanti.

Kata Imam Hasan Al-Banna :
" Ketahuilah olehmu bahawa untuk mencapai kematian yang mulia itu, kamu terpaksa
mengorbankan kesenangan dunia ini. maka Allah akan memberikannya (syahid) kepadamu,
sekiranya kamu merebut kemulian syahid di jalannya.

apa tujuan kita hidup sebenarnya?
sekiranya anda pejuang Islam pastinya kemuliaan hidup dan syahid itu matlamat anda.
syahid di medan peperangan, 
bukan semudah bahasa untuk kita perkatakan.
pastinya pengorbanan yang tinggi perlu dilakukan.
Mungkin ada yang semangatnya berkobar-kobar di permulaan jalan
namun, kecundang di pertengahan jalan
mungkin gerun dengan mehnah dan ujian yang terpaksa dilalui.

" Kerana itu hendaklah orang yang menjual kehidupan dunia untuk (kehidupan) akhirat berperang di jalan Allah. Dan barang siapa berperang di jalan Allah, lalu gugur syahid atau memperolehi kemenangan, maka kami akan berikan pahala yang besar kepada mereka."
( Surah Al-Nisa' : 74)


Jika hari ini kita dipilih oleh Allah,
duduk dalam perjuangan Islam, dapat merasakan kemanisan
kepayahan dalam berjuang,
berdoalah supaya Allah tetapkan hati kita sehingga ke penghujung jalan.

" Hindarilah kamu daripada anasir sifat cepat putus asa, kerana berputus asa itu bukanlah
dari akhlak orang Islam. Dan hakikat kehidupan hari ini, adalah
mimpi bagi yang kelmarin, dan mimpi hari ini adalah hakikat bagi hari esok, selagi mana
waktu masih lapang, selagi mana masih ada anasir-anasir kekuatan bagi jatidiri anak bangsamu
yang Mukmin, sekalipun di sana masih wujud anasir-anasir kezaliman yang melakukan kerosakan. Ini Kerana tidak selama-lamanya golongan yang lemah itu lemah buat selama-lamanya dan tidak pula selama-lamanya yang kuat itu kuat untuk selama-lamanya."



" berjuang ertinya terkorban"

korbankan harta, begitu jua jiwa
kerahkan tenaga, luaskan fikiran
bersama kita menentang musuh-musuh Allah

ayuhh!
mari kita bersatu, bergabung dalam satu barisan
membina ukhwah,
bersama menentang kemungkaran
Tegakkan Islam.



Islam Pasti Gemilang.
Allahu Akhbar!

Tuesday, October 25, 2011

Wanita Dalam Perjuangan Islam

Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan.


Memperjuangkan Islam bukanlah suatu perkara mudah kerana terbukti di dalam sejarah bahawa Islam tertegak dengan mengalirnya darah para syuhada serta airmata balu-balu dan anak-anak yang mereka tinggalkan. Perjuangan Islam menuntut bukan setakat masa, tetapi jiwa dan raga, pengorbanan dari segi harta dan kedudukan malah adakalanya menghambat nyawa. Firman Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman iaitu orang yang yakin dan percaya kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak syak dan ragu-ragu (terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya) dan mereka berjihad dengan harta benda mereka dan jiwa raga mereka kepada jalan Allah, mereka itulah orang yang sebenar-benarnya (pengakuan imannya)” 

Itulah semangat yang ditunjukkan oleh umat-umat Islam terdahulu dan segelintir pejuang-pejuang Islam sekarang tanpa mengira lelaki ataupun perempuan. Malah orang yang mula-mula syahid dalam mempertahankan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w adalah seorang wanita, Sumaiyah dari keluarga Yasir.

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, apa yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w ialah penghayatan kepada kalimah tauhid dan pembersihan dari sebarang bentuk syirik. Terbukti insan-insan yang bersih hatinya dari kesyirikan serta jelas ilmu mereka mengenai ketauhidan Allah s.w.t, dapat memperjuang dan mempertahankan Islam walau datang beribu rintangan sekali pun. 

Insan-insan dari jenis inilah yang perlu ada di kalangan pejuang-pejuang Islam kini, termasuk wanita. Peranan wanita adalah amat penting dan besar sekali dalam perjuangan Islam kerana mereka merupakan pendidik anak-anak yang boleh dibentuk menjadi satu generasi pembela Islam yang amat diperlukan. 





Sifat fizikal wanita yang lebih lemah daripada kaum lelaki terbukti bukanlah satu alasan untuk tidak terbabit dalam memperjuangkan Islam. Tetapi tanggungjawab menegakkan Islam turut terpikul di bahu mereka, mengikut kemampuan serta batasan yang ditentukan Allah s.w.t. 

Bila memperkatakan wanita dalam perjuangan Islam, maka biasanya kita tidak dapat lari dari peranan yang mereka mainkan dalam membentuk keluarga muslim. Dari unit keluargalah tanggungjawab mereka bermula. Mendidik anak-anak memahami erti Islam sebenar, menyemai benih iman sejak kecil, mencorakkan akhlak mulia, selanjutnya menanamkan semangat memperjuangkan dan mempertahankan Islam dalam diri mereka. 

Tugas ini tidak sepatutnya dilihat sebagai tugas umum wanita, iaitu mendidik anak-anak serta menguruskan rumahtangga. Tetapi wajar dititik beratkan sebagai tanggungjawab muslimah dan sumbangan atau jihad mereka dalam Islam. Bila tugas-tugas ini dikaitkan dengan jihad Islam, maka sewajarnya ia dijalankan dengan penuh kerelaan dan dipikul sebaik-baiknya. 

Urusan mewujudkan rumahtangga muslim dan mendidik generasi Islam yang beriman, berakhlak mulia serta bersemangat jihad merupakan tugas utama wanita. Bagaimanapun tidak bermakna mereka tidak boleh memperjuangkan Islam dengan cara lain bila keadaan memerlukan. 

Pada zaman Rasulullah s.a.w para muslimat bukan hanya berfungsi sebagai penghias rumah atau melahirkan zuriat semata-mata. Tetapi mereka berperanan membantu kaum lelaki dalam jihad menegakkan Islam, meniup semangat kepada mereka dengan meredhai perjuangan suami malah bila diperlukan mereka bersama-sama kaum lelaki dalam pertempuran. 

Begitulah semangat perjuangan yang mereka tunjukkan, mereka pertahankan agama Allah dengan nyawa dan bukan sekadar seorang suami, bapa, anak-anak atau saudara sedarah sedaging. 

Sekiranya sekarang kita dapat mewujudkan muslimah-muslimah sebegini, Insya-Allah satu generasi pejuang Islam yang tidak gentar menghadapi musuh dapat dibentuk. 

Peranan wanita dalam memperjuangkan Islam tidak sepatutnya hanya tertumpu kepada soal rumahtangga semata-mata. Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh mereka yang masih belum bersuami, tidak mempunyai anak atau anak-anaknya sudah dewasa dan tidak memerlukan banyak penjagaan lagi? 

Tenaga mereka amat diperlukan dalam perjuangan Islam. Mereka boleh bergiat dalam masyarakat, menjalankan dakwah; memberi kesedaran dan ilmu Islam kepada masyarakat sejenisnya yang masih belum mengenali Islam. Perkara ini amat perlu ditekankan kerana terdapat kecenderungan di kalangan ahli jamaah yang meluangkan waktu untuk mempengaruhi ahli jamaah Islam lain untuk menyertai jamaahnya. Tindakan seumpama ini tidak langsung menguntungkan Islam, kerana dakwah Islam perlu sampai kepada semua peringkat masyarakat, terutama mereka yang masih belum memahami apakah Islam sebenar. 

Wanita perlu didedahkan dengan masalah sebenar masyarakat Islam dalam menghadapi musuh. Mereka perlu menyedari bahawa wanita mempunyai kuasa dan tenaga tersendiri untuk memperjuangkan dan melaksanakan Islam dalam berbagai bidang, termasuk dalam menegakkan Daulah Islamiyyah. 

Tidak timbul persoalan bahawa bidang politik adalah bidang orang lelaki kerana setiap muslim atau muslimah itu mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama berusaha untuk menegakkan sebuah negara Islam. Firman Allah di dalam surah at-Taubah ayat 71 yang bermaksud: 

“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” 

Di dalam negara yang majoriti undinya adalah di tangan wanita, para muslimah hendaklah lebih giat membantu kaum lelaki dengan memberi kesedaran kepada kaum sejenisnya untuk memberi sokongan kepada golongan yang memperjuangkan Islam. Mereka perlu menyakinkan golongan yang masih tidak menyedari atau meyakini bahawa pemerintahan berteraskan Islam adalah yang terbaik. 

Untuk menjalankan usaha ini, para Muslimat hendaklah membuat persediaan awal. Kerja-kerja dakwah sebegini tidak mungkin dapat berjalan lancar sekiranya kita tidak mempunyai ilmu dan hikmah. Kerana tanpa ilmu dan hikmah, bukan sahaja kita tidak mampu meyakinkan mereka, tetapi mungkin juga membawa perpecahan. 

Selain itu juga, muslimah-muslimah yang terbabit dalam memperjuangkan Islam mestilah sentiasa beristiqamah dengan perjuangan. Tidak bersikap hangat-hangat tahi ayam, aktif semasa bujang, tetapi meninggalkan terus perjuangan setelah berumahtangga. 

Alangkah ruginya jamaah sekiranya ramai muslimat bersikap begini. Mereka hendaklah terus berjuang sedaya mungkin kerana kerja-kerja dakwah itu tidak sepatutnya terhenti atas alasan sudah berkahwin. Yang penting ialah mereka bijak mengurus masa dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri mahupun ibu dalam menjalankan kerja-kerja dakwah. 

Sebagai muslimah-muslimah yang yang memilih untuk memperjuangkan Islam melalui jamaah maka kita perlu mengetahui dengan mendalam mengenai apa yang dikehendaki oleh jamaah. Kita hendaklah beriltizam di tempat bertugas dan setiap suasana hidupnya hendaklah diselaraskan dengan kebaikan dan kepentingan amal dakwah. Setiap amalnya harus menjadi alat dakwah dan usaha atau aktiviti dakwahnya tidak sepatutnya dilemahkan oleh sesuatu perkara lain. 

Apa yang penting ialah setiap muslimah yang terbabit dalam perjuangan Islam mestilah memahami dengan jelas matlamatnya dan menepati al-Quran dan Hadith. Mereka mestilah bersedia dengan ilmu, kerana tanpanya segala usaha perjuangan Islam tidak mungkin dapat dijayakan. Firman Allah di dalam surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud: 

“…Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”. Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran” 

Firman Allah lagi di dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud: 

“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat…” 

Selain daripada itu, para muslimat juga mestilah mempunyai ketahanan iman, sabar, istiqamah dalam menjalankan amal dan berani. Baginya tempat pergantungan sebenar bukanlah daripada orang yang berkuasa di dunia, suami atau orang lain, tetapi Allah s.w.t. Firman Allah di dalam surah Al-Maidah ayat 55-56 yang bermaksud: 

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya Golongan Allah itulah yang pasti Menang” 

Peranan wanita dalam perjuangan Islam sememangnya bermula dalam ruang rumah bersama ahli-ahli keluarga; iaitu suami dan anak-anak. Tetapi tidak bermakna kaki dan tangan mereka terikat di luar rumah sehingga tidak boleh digerakkan untuk kepentingan masyarakat luar, khususnya di kalangan wanita sendiri.

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 35: 

“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang beriman, laki-laki dan perempuan yang mu’min, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam kereta’atannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”




Artikel Dari: Portal Komuniti Muslimah -- Hanan.com.my

http://www.hanan.com.my/


http://hotlayouts2u.com/blogger-layouts/view.php?id=L782752258