Aku impikan syurga
tapi adakah syurga layak buatku....
aku rindukan indahnya syurga
cukupkah amalanku untuk membawa diri ku masuk ke sana...

syurga untuk orang yang hebat,
banyak amalannya, tinggi pengorbanannya,
tapi aku,
insan biasa-biasa,
banyak dosa......
Ya Allah, ampunkan diriku,
bersihkan jiwaku...
saat ku melihat mereka bakal memiliki syurga
hatiku meruntun kecewa, mengapa aku tidak begitu...
Ya Allah, kuatkan mereka,
semoga mereka terus peroleh syurga-Mu.
Ya Allah, kuatkan aku,
semoga diri ini turut menjejaki langkah mereka,
kuat beribadah, istiqamah menegakkan kalimah-Mu.
Ya Allah diriku banyak dosa,
ampunkan aku.
ikhlaskan aku dalam beribadah,
kuatkan aku mengerjakan suruhanmu,
istiqamahkan diri ku untuk terus berada di jalan rahmat-Mu.
pilihlah diriku untuk masuk syurga dengan rahmat-Mu...amennn..
"Syurga ialah satu tempat iaitu taman-tamannya terdapat sungai-sungai yang mengalir di bawahnya..Istana-istananya tersusun daripada batu bata emas dan perak .Tanahnya adalah kesturi yang terbaik ,kerikilnya daripada intan permata dan mutiara.Debunya adalah "Za'faran",kilauannya,.cahaya gemilang , penuh wangian yang semerbak,.dihuni oleh hamba-hambaNya yang terpilih di samping pasangannya yang suci dan elok parasnya..Penghuninya,menikmati segala kenikmatan,.serta menghadap wajah Allah SWT.."
Bismillahirrahmanirrahim.
Bersyukur kita pada Ilahi, masih diizinkan oleh Allah untuk kita hidup di muka bumi penuh kenikmatan ini. Kadangkala kita leka, kita lalai sehingga lupa pada pencipta yang jadikan langit terbentang tanpa tiang, laut yang luas indah membiru, tumbuhan subur yang menjadi sumber makanan kepada makhluk yang bernama haiwan dan manusia.
Hati manusia mudah lalai...Cintanya pada Rasul dan Allah semakin luntur dek lekanya dengan kemewahan dunia dan keseronokan dunia hasil hasutan syaitan yang tidak pernah penat melalaikan manusia.Kita dianugerahkan hati, mata dan telinga, tapi sejauh mana kita gunakan nikmat tersebut sebagai bukti penghambaan kita pada pencipta.
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam, kebanyakan jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kebesaran Allah), dan mereka mempunyai telinga tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah).Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka itulah orang yang lalai."
(Surah Al-A'raf : 179)
Sahabat-sahabat,
Tundukkan hati kita pada pencipta. Hadirkan ketenangan apabila solat ditunaikan.
Solat kita dikira bukan pada banyaknya bilangan rakaat yang dilakukan tapi dinilai sejauh mana khusyuknya solat yang kita lakukan.
Solat tempat kita lahirkan rasa kehambaan diri kita pada pencipta..Hanya kepada Allah tempat kita bergantung, meminta dan memohon pertolongan.Jadi, bersungguh-sungguhlah melaksanakan rukun Islam yang kedua ini. Kita boleh menilai setinggi mana keimanan diri kita dengan melihat kesungguhan diri kita dalam melaksanakan solat fardhu yang diwajibkan ke atas semua hambanya.
Tunduklah kepada Allah, jangan kita tunduk hanya pada harta dunia...
Letakkan hati kita pada cinta pada Allah dan Rasul, pasti ketenangan itu milik anda.
Jauhkan hati kita daripada sukakan pada nikmat dunia , sehinggakan melalaikan dan lupa bahawasanya harta itu sekadar pinjaman semata-mata.
Jika manusia letakkan hatinya pada kemewahan, pasti kepuasan itu tidak ketemu hingga ke akhir usia. Tapi yang dijumpai hanyalah penyesalan dan kerugian di akhir usia Malah menjadi papa di akhirat nanti kerana tiada bekalan jika ketika di dunia sibuk menguruskan harta sehingga lupa ibadat kepada Allah SWT.
Kita perlu membaiki diri setiap hari. Nak jadikan diri menjadi lebih baik, baiki dulu hati. Buangkan segala sifat mazmumah yang terlekat pada hati dan gantikan dengan segala sifat mahmudah. Corakkan hati kita dengan kebaikan supaya hasilnya kebaikan dalam setiap amalan.
Jauhi diri daripada maksiat batin.
Imam Ghazali di dalam kitab Arbain Fi Usulluddin ada menyatakan 10 perkara yang perlu dijauhi oleh manusia. 10 perkara ini perlu dielakkan oleh manusia kerana 10 perkara ini adalah penyakit yang mana jika penyakit ini menyerang manusia ia akan merosakkan hati manusia.
10 Perkara maksiat batin yang perlu dielakkan :
1. banyaknya makan
2. Banyak cakap
3. marah
4. Hasad
5.kedekut dan cinta pada harta
6. mencari kemegahan
7. cintakan dunia
8.suka membesarkan diri
9. ujub
10. menuntut martabat pada hati-hati manusia
Penyakit-penyakit ini jugalah yang kadangkala mengganggu kita dalam mencari keikhlasan dalam beribadah. Sekiranya hati manusia tidak dijaga, maka syaitan-syaitan akan mudah masuk ke dalam hati manusia. Sekiranya kita ingin menjadi orang yang berjaya di akhirat nanti, kaya dengan amalan, gembira dengan nikmat syurga perlulah setiap dari kita untuk menyucikan hati kita daripada maksiat-maksiat batin seperti di atas.
Ingatlah dalam jasad kita adanya seketul daging yang digelar hati, sekiranya ianya baik maka baiklah keseluruhannya. Suburkan hati kita dengan zikir kepada Allah, tenangkan hati dengan perbanyakkan membaca ayat suci al-Quran, kuatkan dengan banyakkan puasa-puasa sunat dan sebagainya.