Wednesday, June 15, 2011

Merancang Kehidupan akhirat

Bismillahirrahmanirrahim.
Selawat dan salam buat Nabi Muhammad SAW, para sahabat , tabi' dan tabien dan semuanya yang telah banyak berjasa kepada Islam.
Al-hamdulillah, masihku rasa degupan jantung, melihat keindahan pagi, menghirup udara yang masih segar di kampung halaman dan jari jemari masih bertenaga untuk terus menari di atas key board.

Mata terpesona melihat keindahan pagi.Pohon-pohon hijau segak berdiri.Segar dibasahi embun-embun pagi bersama burung-burung berkicaun sibuk mencari rezeki.Bila melihat burung, terbang tinggi di awan...
Subhanallah...hebatnya ciptaan tuhan.
Al-hamdulillah, masih dapat merasakan nikmatnya ketika ini. 

Memang cantik dunia.Ramai yang terpesona.Saat matahari naik menggantikan bulan, makhluk yang bernama manusia pasti bersiap sedia untuk keluar bekerja.Keluar mencari rezeki untuk persedian hidup pada masa akan datang..Masing-masing sibuk.Kadang-kadang terlalu sibuk merancang kehidupan di dunia sehinggakan lupa merancang kehidupan di akhirat...

Sedar atau tidak, kehidupan kita di dunia ini hanya sekadar persinggahan.Kehidupan yang kekal pasti menanti pada waktu yang kita tidak tahu.Kehidupan di alam barzakh? pastinya berlaku mungkin setelah saat ini, mungkin seminit dua atau pada bulan depan mahupun tahun-tahun akan datang.Persoalannya apa persedian yang telah kita lakukan untuk kehidupan yang hakiki di sana nanti.


Persoalannya di sini, jika nanti tiba masanya kita meninggalkan dunia yang penuh rencah ini, bersediakah kita dengan kehidupan akhirat yang lebih mencabar nanti.


Jika hari ini tiba masanya,
apa bekalan yang akan kita bawa di sana nanti?






*****

Banyak panduan yang ditinggalkan oleh Rasulullah yang dapat membantu kita dalam merancang kehidupan akhirat.Antaranya ialah



Sabda Rasulullah s.a.w
Maksudnya: “ Apabila seseorang manusia itu meninggal, maka terputuslah segala pahala amalannya, melainkan tiga amalan yang kekal berterusan walaupun selepas kematian, iaitu amalan soleh, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya”. (Hadis riwayat muslim)

1.Sedekah jariah
Setiap rezeki yang kita perolehi adalah semuanya daripada Allah.Dan kita perlu bijak menguruskan rezeki yang kita perolehi.Sebenarnya rezeki yang kita perolehi bukan untuk kita seorang tetapi perlu diagihkan kepada orang lain.Kita jangan menjadi kedekut seperti Qarun yang mana kekayaannya memakan diri sendiri.Didiklah diri kita mencontohi AbdulRahman bin Auf dengan sifat pemurahnya.Berkat rezekinya dengan sifat pemurahnya perniagaanya tidak rugi malah semakin maju dan berkembang.

Selain mendapat pahala yang berterusan, bersedekah juga dapat menundukkan nafsu kita.Sifat riya', sombong dan kedekut pasti boleh dikikis dalam diri jika selalu bersedekah malah sifat sanggup berkorban pasti dapat ditanam dalam diri jika amalan sedekah ini dilakukan setiap hari.Bersedekahlah walaupun sedikit kerana setiap apa yang kita sedekahkan itu sangat bernilai mungkin bukan di dunia ini kita perolehi balasannya tapi harapan kita di akhirat nanti iaitu destinasi utama kita.


Allah SWT berfirman :
" Maksudnya: Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa ( mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) serta dia membenarkan adanya pahala yang terbaik (SYURGA), maka sesungguhnya Kami akan menyediakan baginya jalan yang mudah (SYURGA).
(Surah al-Lail : 5-7)

2.ilmu yang bermanfaat
Ada pepatah arab yang mengatakan "tuntutlah ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad".ini bererti proses menuntut ilmu merupakan proses yang perlu dilakukan secara berterusan.

Manusia makhluk yang istimewa kerana dikurniakan akal.Dengan akallah manusia berbeza dengan haiwan.akal mampu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk dan akallah yang berperanan untuk memilih kemana hala tuju kita dalam kehidupan.

Carilah ilmu yang bermanfaat.Ilmu yang dapat mendekatkan diri kita dengan Allah, ilmu yang mengajar kita mengenali Allah, berkaitan kekuasaan-Nya, keagungan-Nya , keesaan-Nya dan sebagainya.Dengan ilmu yang kita perolehi, sampaikan dan kongsikanlah dengan orang lain.Selagi ilmu yang disampaikan terus disampaikan dan diamalkan kepada orang lain pasti pahala yang kita perolehi juga akan bertambah dan terus bertambah walaupun roh telah berpisah daripada badan.


Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda  yang bermaksud :


" Tidak boleh iri hati, melainkan dalam dua perkara, iaitu seseorang yang dianugerahkan harta oleh Allah, lalu dia membelanjakannya sehingga habis dalam kebenaran; dan seseorang yang dianugerahkan ilmu, lalu dia gunakan untuk memutuskan perkara dan dia ajarkan kepada orang lain."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)


3.Doa anak yang soleh
Anak adalah permata yang sangat berharga.Ibu bapa yang dikurniakan cahaya mata didiklah anak-anak menjadi anak yang soleh.Peliharalah anak-anak agar mereka sentiasa menjaga ibadah solatnya, anak-anak yang melaksanakan segala perintah Allah.

Anak-anak yang soleh adalah satu pelaburan yang sangat bernilai.Keberkatan doa-doa mereka kepada Ibu bapa mereka yang telah meninggal dunialah yang menjadi penolong di dalam kekelaman dan kepedihan azab kubur.



Sabda Rasulullah s.a.w :Maksudnya : “Orang yang paling bijaksana dikalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah taala( mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha).”
Hadis Riwayat At-Termizi Dan Ibnu Majah.

0 Buah Fikiran:

Post a Comment

http://hotlayouts2u.com/blogger-layouts/view.php?id=L782752258